Pages

Saturday, 26 January 2008

Selamatkan telur

Lari!!! Lari!! Selamatkan telur!! Selamatkan telur!!

Pasu cekur dan sarang burung jadi sarang semut gila. Kawan aku cakap semut tu dipanggil semut gila sebab selalu lari lintang-pukang, tidak tentu arah macam orang gila.

Masing-masing menggonggong telur. Lari pusing-pusing. Terlanggar kawan. Tukar arah. Masuk barisan.

Aku siram. Halia dan kunyit yang aku tanam dalam pasu sudah mati. Kering macam warna jerami. Daun tongkat ali pun sudah jatuh. Yang masih melekat sudah kuning-kuning. Aku pernah baca kononnya tumbuhan di saat kekeringan, mengeluarkan bunyi nyaring ketika hampir mati. Frekuensi bunyi itu terlalu tinggi sehingga tidak dapat didengar oleh telinga manusia. Mungkin betul, sebab memang aku x dengar apa-apa bunyi dari beranda tu. Hari ni baru aku nampak halia dan kunyit sudah mati.

Dalam musim panas, koloni semut gila dilanda banjir kilat.

Orang awam menyelamatkan diri dan anak-anak kecil. Polis tentera memberi tunjuk arah. Permaisuri tidak kelihatan. Mungkin lari ikut secret tunnel. Dilindungi secret agent. Mayday! Mayday!

Selamatkan telur!! Selamatkan telur!!

Tuesday, 22 January 2008

Mulu

Mulu memang cantik. Magnificient.

Kilang cendol aku semakin produktif di sana. Apalagi selepas masuk Deer Cave yang penuh dengan kelawar. Dan tahi. Dan kencing. Dan burung layang-layang, yang ada tahi dan kencing juga. Suasana gua seperti berkabus, hasil campuran najis dan air yang menitik dari siling gua. Banyak kali tanganku terbenam dalam timbunan guano, ketika cuba memanjat batu yang licin. Suasana gelap-gelita. Dan aku hanya bertemankan lampu suluh yang tidak boleh diharap. Bagli (guide) dan Mr. Bos sesekali berada jauh di hadapan kerana aku kerap berhenti untuk menangkap gambar. Kadang-kadang aku dan Mr. Bos sama-sama ditinggalkan jauh oleh Bagli kerana terlalu asyik dengan kamera masing-masing. Aku dan Mr. Bos bertentang mata. Macam cerita koboi yang berlawan siapa menembak lebih pantas. Bezanya kami pegang kamera. Bukan pistol. Dalam hati aku macam terdengar-dengar tune muzik ketika koboi bersedia menembak seperti dalam filem tu. Sekejap-sekejap aku tarik hingus.
Adam and Eve buat aku teruja. Sewaktu hendak meninggalkan Gua Rusa, aku menoleh dan berhenti memandang Adam and Eve lama-lama, puas-puas. Dan kemudian berlari-lari anak mendapatkan Bagli dan Mr. Bos. Gua Rusa sangat besar, sehingga flash light kamera pun tidak mengena dinding gua. Dari Deer Cave, kami tembus ke satu bukaan menuju Garden of Eden (Taman Firdausi!). Beberapa kali turun dan naik bukit, sehingga aku sendiri tidak menyangka dari mana aku dapat ekstra stamina begitu. Paru-paru copot. Otot menjerit. Selain ada air terjun yang cantik, penyambut tetamunya sungguh ramah dan mesra. Ada tarian yang meliuk-liuk dan melentok-lentok.
Pacaaaaat.

Antara ke empat-empat show cave, Lang cave adalah yang terkecil. Bersebelahan Deer Cave. Formasi kolum, stalagtit dan stalagmitnya menakjubkan. Seperti titisan lilin yang sudah mengeras. Dari Lang Cave, kami menunggu jutaan kelawar terbang membentuk formasi. Seperti riben hitam yang membelah langit biru.

Untuk ke Clearwater dan Wind Cave pula, kami menaiki perahu panjang menyusuri Sungai Melinau. Berhenti sebentar di Pekan Batu Bungan, perkampungan orang Penan. Wind Cave mendapat nama itu sebab pada waktu tertentu seperti ada angin yang menghembus keluar dari dalam gua. Macam ada aircond. Pacik Cina yang nampak macam orang Jepun dihadapan kamipun asyik buang angin saja kerjanya. Di dalam Clearwater Cave pula terdapat sungai yang sejernih kristal. Dan sejuk!. Kebanyakan pelancong kulit putih dan tempatan cuma memerhati dan mengambil gambar, tetapi orang-orang Jepun (tua-tua belaka) sanggup turun ke deck, mahu mencecah kaki atau tangan ke dalam air. Mungkin mereka bertanggapan kalau cuci muka sekali, boleh mengembalikan keremajaan. Siapa tahu? Itu yang aku fikir sewaktu melihat kelakuan mereka yang beriya-iya. Gua ini juga dipanggil Young Lady Cave kerana terdapat formasi yang kelihatan seperti seorang wanita bertudung. Di satu selekoh, terdapat formasi yang kelihatan seperti kemaluan lelaki. Haha!. "Okay, over there - Young Lady. Over here - Young Man!". Sebenarnya Mr. Bos yang cakap ini. Pasangan Mat Saleh di belakang menyampuk-nyampuk, ketawa support. Kalau tidak silap boyfriend dia ada tangkap itu gambar. Aku kira mau tangkap juga, tapi aku malu. X kuasalah aku ambil gambar lucah. Haha.